Hari ini, industri seni dikejutkan dengan berita pemergian pelakon lagenda, Lan Zailan yang pergi mengadap Illahi sekitar jam 4,15 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini.
Khabar duka tersebut dikongsi oleh Persatuan Seniman Malaysia, menerusi kenyataan di laman Facebook, menyatakan kematian Allahyarham yang berpunca daripada kanser pankreas.
“Dukacita dimaklumkan bahawa seorang lagi lagenda permata industri filem dan drama tanah air iaitu Zailan Bin Kamarudin atau lebih popular dengan nama pentasnya Lan Zailan telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 4.15 pagi – 19 Disember 2024 pada usia 66 tahun akibat kanser pankreas..”-tulis Persatuan Seniman di Facebook
Dijangka Dikebumi Di Tanah Perkuburan Islam USJ 22
Selain itu, jenazah Allahyarham juga akan disolatkan di Masjid Puchong Perdana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.
“Jenazah kini berada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jenazah akan dimandikan di PPUM sekitar jam 8 pagi dan akan dibawa ke Masjid As Salam Puchong Perdana untuk solat jenazah sebelum dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan Islam USJ 22 (Masa akan dimaklumkan).”-Tulis Persatuan Seniman lagi
Sekadar info, Allahyarham Lan Zailan merupakan seorang pelakon drama dan filem di Malaysia sejak tahun 1980 sehingga kini. Malah, Allahyarham juga telah berlakon lebih daripada 10 filem seperti Bini-Biniku Gangster, Longkai, Keranda Tok Wan Terbang, 99 Kali Rindu, dan puluhan drama serta telefilem di Malaysia.
Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan berada di kalangan orang-orang beriman.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.