Baru-baru ini, anak tiri kepada Datuk Nora Ariffin, Alia Rushdi, seakan-akan ‘memulangkan paku buah keras’ apabila memuat naik foto mesra ibu bapa kandungnya di media sosial. Alia yang terkenal dengan keberaniannya tidak terkecuali dalam memberikan reaksi terhadap perkara-perkara yang melibatkan keluarganya.
Tindakannya ini dipercayai berpunca daripada beberapa hantaran Nora di media sosial yang sering menunjukkan kebahagiaannya bersama suami, Dr Rushdi Ramli.
Mungkin Alia rasa tiba masa untuk menunjukkan bahawa dalam dunia mereka, hanya ibu dan ayahnya yang wujud, dan tak perlu ada orang lain yang menonjolkan kebahagiaan keluarga masing-masing.
Alia, dengan penuh nada agak sinis, memuat naik lapan gambar ibu bapanya di TikTok sambil menulis, “Dalam alam semesta lain, mungkin hanya mereka. Mungkin hanya ibu dan ayah. Hanya mereka, tiada orang lain.”
Apa yang menariknya, dalam hantaran itu, dia turut mendakwa Nora adalah ‘kaki pengadu’, sebuah gelaran yang seakan satu gurauan pedas yang dipanjangkan kepada penyanyi terkenal itu.
Tak hanya itu, Alia juga sempat membalas komen seorang netizen yang berkongsi pengalaman serupa dengan dirinya, yang mengakui berhadapan situasi dengan ibu tiri yang gemar mengadu pada bapanya.
Alia yang tak mahu kalah, dengan selambanya menjawab, “Ini maknya yang kaki mengadu,” sambil memberikan satu respons ringkas yang cukup menyengat.
Perkara ini berlanjutan dengan Nora yang semalam mengaku bahawa dia telah digelar ‘sundal’ oleh ahli keluarga suaminya. Namun, dalam respon yang tak kurang tajam, anak tiri bernama Aya turut tampil mempersoalkan tuduhan Nora dan menegaskan dia mempunyai bukti yang cukup untuk menyangkal dakwaan penyanyi itu terhadap keluarganya.
Seolah-olah drama ini tiada penghujungnya, masing-masing cuba membuka pekung di dada, dengan setiap kenyataan yang disebarkan di media sosial.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.