Umpama mimpi yang menjadi kenyataan, Kilafairy kini berada di puncak kegembiraan selepas dipilih untuk berkongsi pentas dengan legenda muzik Bollywood, Udit Narayan.
Siapa sangka, pelakon dan penyanyi ini akan berpeluang beraksi di konsert besar bersama ikon dunia hiburan yang telah mencipta banyak lagu klasik. Konsert Udit Narayan In KL pada 28 Disember ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, akan menyaksikan Kilafairy mempersembahkan vokalnya dalam satu pentas megah yang pasti akan diingati.
Kilafairy, atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, yang berusia 32 tahun, cukup teruja kerana dipilih oleh penganjur konsert, VVST Digital Creation. Mereka menyedari kredibilitinya sebagai penyanyi yang fasih menyanyikan lagu-lagu Bollywood.
Jadi, boleh bayangkan betapa terharunya Kilafairy bila mendapat tawaran ini. “Udit Narayan adalah figura yang sangat istimewa. Saya meminati beliau kerana saya peminat tegar Shah Rukh Khan. Sebahagian besar lagu yang popular dalam filem-filem Shah Rukh, ada suara Udit Narayan. Jadi, bila dapat peluang ni, saya terkejut, tak percaya, dan tentu sekali gemuruh!” katanya.
Namun, selepas berjaya mengatasi kegugupan, Kilafairy lebih fokus pada latihan vokal untuk memastikan suaranya mampu menghayati lenggok Bollywood yang begitu berbeza dengan irama Melayu. “Saya giat berlatih dan mendalami setiap lenggok lagu Bollywood.
Bukan mudah, kerana penghayatannya sangat penting, terutamanya dalam lagu Tamil atau Hindi. Ia seperti bahasa lain untuk muzik!” katanya dengan penuh semangat.
Untuk Kilafairy, Bollywood bukan sekadar industri hiburan, tetapi lebih kepada kenangan indah bersama keluarganya. Dia bercerita bagaimana sejak kecil, dia sudah biasa menonton filem Bollywood bersama ibu dan keluarga.
“Saya mula nyanyi lagu Bollywood sejak umur 8 tahun. Filem Bollywood menjadi satu tradisi keluarga. Salah satu filem yang kami tonton berkali-kali adalah Kabhi Khushi Kabhi Gham, sampai menangis beramai-ramai,” katanya sambil tersenyum.
Malah, arwah ibunya juga sangat menyukai lagu “Khushiyan Aur Gham” daripada filem Mann. “Lagu-lagu Udit Narayan, terutama daripada filem Devdas, Mann, dan Taal… semuanya menusuk jiwa saya. Saya rasa seperti kembali ke zaman silam, kembali menikmati filem-filem Bollywood bersama ibu,” tambah Kilafairy dengan penuh emosi.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.