Personaliti televisyen, Ira Mohd Amin berkongsi satu berita menyentuh hati menerusi akaun Instagram miliknya, memohon doa orang ramai buat anak sulungnya yang bakal menjalani prosedur pemindahan stem sel.
Dalam satu hantaran yang sarat emosi, Aril memaklumkan bahawa anak lelakinya, Mohamad Saif Zairil, akan menjalani transplant stem cell pada hari ini – satu prosedur penting dalam usaha melawan penyakit T-cell Acute Lymphoblastic Leukemia (T-ALL) yang dihidapi anak kecil itu sejak sekian lama.
“Dengan penuh rendah hati, saya ingin memohon doa daripada semua ahli keluarga dan sahabat yang dikasihi.”
Lebih menyentuh hati, Aril sendiri akan menjadi penderma stem sel untuk anaknya, menunjukkan komitmen dan kasih sayang yang mendalam sebagai seorang bapa yang sanggup berkorban demi kesembuhan anak.
Beliau turut menyatakan bahawa isterinya, Ira bersama anak-anak mereka – Sufi, Safi dan Safa menjadi sumber kekuatannya sepanjang tempoh yang penuh ujian ini.
“Saya mohon dengan sepenuh hati agar kalian semua dapat mendoakan kelancaran perjalanan transplant esok, agar Allah SWT permudahkan setiap langkah prosedur ini, serta kurniakan kesembuhan yang sempurna buat anak kami, Mohamad Saif Zairil.”
Aril turut mengharapkan agar segala kesakitan dan perjuangan yang dilalui Saif selama ini diganti dengan kesembuhan, kekuatan dan umur yang panjang serta diberkati.
Netizen Titip Doa & Kata Semangat
Menjengah ke ruangan komen, ramai rakan artis dan warganet menitipkan doa serta kata-kata semangat buat keluarga kecil ini. Ramai yang turut tersentuh dengan kecekalan Aril dan isterinya dalam menghadapi ujian besar ini.
“Semoga Allah permudahkan segalanya buat Saif. Kami semua doakan kesembuhan yang sempurna,”
“Semoga pembedahan berjalan lancar”
“Semoga Allah permudahkan segala urusan”
Sama-sama kita doakan agar prosedur pemindahan stem sel ini berjalan lancar dan Saif dikurniakan kesembuhan yang sempurna, insyaAllah.