“Siapa Pemenang & Siapa Yang Mati?”- Ini Penjelasan Ending ‘Squid Game 3’

20 hours ago 9

Spoiler alert!

Murai yakin di luar sana pasti ramai yang sudah menonton filem siri ‘Squid Game 3’ yang ditayangkan secara global di Netflix baru-baru ini.

Dan bagi yang sudah pun menonton, Murai nak tanya adakah kamu faham dengan pengakhiran filem ini? Jika tidak, kamu berada di tempat yang betul kerana Murai akan kupaskan mengenai filem siri musim ketiga ini!

Penjelasan Pengakhiran ‘Squid Game 3’

Musim ketiga ini dibuka dengan penghujung musim kedua, iaitu Seong Gi Hun (Lee Jung Jae) kembali ke arena dengan niat yang berbeza. Niatnya bukan untuk bertahan tetapi untuk memusnahkan sistem permainan.

1. Permainan ‘Sky Squid’

Berlangsung di menara batu setinggi pencakar langit, permainan terakhir ini hanya menampilkan tiga peserta yang berjaya iaitu Gi Hun, Myung Gi (Yim Si Wan) dan bayi Jun Hee (bayi Jo Yuri). Peraturannya mudah tetapi boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Permainan ini tidak akan bermula sehingga seseorang menekan butang merah, dan seorang peserta perlu jatuh dari platform untuk meneruskan permainan.

Myung Gi yang mahukan hadiah wang, cuba menangkap bayi Jun Hee dan mengancam untuk menjatuhkannya. Gi Hun berpura-pura untuk bekerjasama dan kemudian menyerang Myung Gi dengan pisau. Pergaduhan berlaku dan Myung Gi tergantung pada platform, manakala Gi Hun memegang jaket dan terjatuh. Permainan tersebut belum bermula secara rasmi dan kematian Gi Hun dianggap tidak sah serta mereka memerlukan satu lagi nyawa untuk meneruskan permainan.

2. Pengorbanan Gi Hun 

Berada dalam situasi yang agak mustahil untuk membunuh atau membiarkan bayi tersebut mati, Gi Hun memilih untuk menjatuhkan dirinya sendiri dari tebing.

Gi Hun meletakkan bayi di atas lantai, melihat ke luar cermin dua hala di mana VIP memerhati sambil berkata, “Kami bukan kuda. Kami manusia. Manusia adalah…”

Ayat yang tidak habis itu mencerminkan mesej utama dari musim pertama iaitu, “Manusia tidak boleh dilayan seperti haiwan berlumba untuk hiburan orang kaya”. Kematian Gi Hun menekankan nilai kemanusiaan dalam masyarakat.

3. Pemenang ‘Squid Game 3’

Dengan kematian Gi Hun, bayi Jun Hee secara teknikalnya menjadi pemenang ‘Sky Squid’ dan memenangi keseluruhan hadiah wang. Front Man, In Ho (Lee Byung Hun) membawa bayi itu keluar sebelum meletupkan kawasan permainan.

Enam bulan kemudian, In Ho menyerahkan jaket berdarah Gi Hun dan kad ATM kepada Ga Yeong, anak perempuan Gi Hun yang menetap di Los Angeles.

4. Mesej Terakhir Dari Pengakhiran Cerita 

Kematian Gi Hun tidak menamatkan permainan tetapi ia memberi contoh bahawa empati dan keberanian untuk menentang kekejaman adalah bentuk penentangan yang paling kuat.

Penulis Hwang Dong Hyuk berkata inti cerita ini adalah “persoalan iman dalam kemanusiaan”. Walaupun Gi Hun tidak terselamat, dia menunjukkan bahawa manusia boleh memilih untuk menjadi manusia yang terbaik.

Adakah “Happy Ending”?

‘Squid Game’ tidak mempunyai pengakhiran yang bahagia. Ianya masih lagi gelap dan brutal seperti musim sebelum ini tetapi bezanya musim kali ini, penonton diberikan sedikit harapan.

Gi Hun tidak memenangi hadiah wang dan tidak muncul sebagai wira tetapi dia mengekalkan perkara yang paling berharga dalam dunia iaitu kemanusiaan.

Manakala penulis Hwang Dong Hyuk dan Netflix pula mengesahkan tidak akan ada ‘Squid Game 4’.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |