Dalam suasana elegan yang memikat hati, MURAI berpeluang menyaksikan sendiri kemeriahan acara An Afternoon in Style anjuran Shangri-La Kuala Lumpur, sempena sambutan ulang tahun ke-40 hotel ikonik ini pada Sabtu, 19 Julai 2025.
Bertempat di Lobby Lounge, acara eksklusif ini seperti menghidupkan semula era glamor Kuala Lumpur dahulu kala, di mana acara fesyen hujung minggu dan afternoon tea menjadi tradisi masyarakat kelas atasan kota. Namun kali ini, semuanya diberi sentuhan moden yang memukau!
Antara yang mencuri perhatian MURAI sudah tentulah koleksi Spring/Summer 2025 rekaan Carven Ong. Rona linen kontemporari yang diperagakan memancarkan gaya santai, anggun dan praktikal sesuai dengan jiwa moden yang mementingkan keselesaan tanpa mengorbankan gaya.
Tidak cukup dengan itu, rekaan beg tangan mewah Ryan Lee serta barangan kemas eksklusif oleh Grace Teoh turut ditampilkan menyerlahkan lagi keindahan seni kraf tempatan yang kini semakin mendapat tempat di pentas fesyen mewah.
Sambil menikmati pertunjukan fesyen, para tetamu dijamu dengan Afternoon Tea edisi khas ulang tahun ke-40 penuh dengan sajian mewah seperti pastri halus, hidangan savuri dan teh premium dari London Tea Exchange. MURAI sendiri pun tak lepaskan peluang menikmati setiap gigitan!
Dalam ucapan pembukaan, Pengurus Besar Shangri-La Kuala Lumpur, Daniel Kaeflein, berkata:
“Tahun ini sangat istimewa buat kami. Kami bukan saja meraikan warisan 40 tahun, tetapi juga mencipta memori baharu bersama para tetamu, sambil mengangkat seni dan kreativiti tempatan.”
Acara turut diserikan dengan cabutan bertuah, di mana tetamu berpeluang memenangi busana sedia pakai Carven Ong, penginapan mewah di seluruh rangkaian Shangri-La di Malaysia serta pengalaman makan malam istimewa.
Bagi yang terlepas acara ini, jangan risau. Afternoon Tea 40 Tahun Shangri-La ini boleh dinikmati setiap hari di Lobby Lounge hingga 15 Ogos 2025. Satu peluang eksklusif untuk anda rasai sendiri keistimewaan dan layanan mesra Shangri-La yang tidak pernah pudar sejak empat dekad lalu.