Konsert Legasi P. Ramlee Ditangguhkan: Dari Persembahan Satu Malam ke Festival Bertaraf Nasional

13 hours ago 5

TanahAir Films Sdn. Bhd. dengan penuh semangat memperkenalkan era baharu buat Konsert Legasi P. Ramlee, yang kini tidak lagi hanya sebuah persembahan satu malam, tetapi akan bertransformasi menjadi sebuah festival seni dan budaya bertaraf nasional!

Jauh Lebih Meriah Dan Penuh Impak

Pengumuman ini hadir seiring dengan inisiatif besar mereka, Projek Perdana P. Ramlee yang disokong oleh pelbagai kementerian, sektor korporat dan nama-nama besar dalam industri kreatif.

Festival ini dijadualkan berlangsung pada tahun 2026 dan akan menampilkan pendekatan yang jauh lebih meriah, inklusif dan penuh impak.

Dengan penglibatan orkestra profesional, artis terkemuka tanah air, serta pelbagai aktiviti seni, budaya dan komuniti, acara ini dijangka menjadi antara festival warisan paling dinanti di Malaysia.

Memperkukuh Legasi P.Ramlee

via Tanah Air Films

Menurut Dato’ Khairul Anwar Salleh, Pengarah Eksekutif TanahAir Films, perubahan ini bukan sekadar soal skala, tetapi satu langkah strategik untuk memperkukuh legasi seni P. Ramlee sebagai jenama budaya nasional.

Kami mahu menjadikan ini titik tolak untuk memperluas pengaruh seni warisan dan membuka lebih banyak ruang penyertaan – bukan hanya buat penonton, tetapi juga rakan korporat, media, komuniti seni dan generasi muda.

Adlin Aman Ramlie, selaku Pengarah Kreatif Festival dan salah seorang peneraju Projek Perdana P. Ramlee pula menyatakan bahawa pendekatan baharu ini adalah peluang untuk menghidupkan semula roh dan semangat P. Ramlee dalam pelbagai dimensi.

Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seniman – beliau adalah suara zamannya, seorang pemikir yang berani dan pelopor nilai bangsa.

Festival ini akan membawa maksud legasi beliau ke peringkat yang lebih dekat dengan jiwa masyarakat kini.

TanahAir Films turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong perjalanan ini dari awal.

Sebuah Acara Yang Berkualiti Dan Bermakna

via Tanah Air Films

Walaupun berlaku penangguhan, mereka percaya ia adalah satu keputusan berani demi menghasilkan sebuah acara yang benar-benar berkualiti dan bermakna buat rakyat Malaysia.

Untuk pembeli tiket sedia ada, pihak Ticket2U akan menghubungi anda dalam masa tiga minggu untuk menguruskan pilihan naik taraf, pertukaran tarikh atau bayaran balik.

Segala maklumat terkini akan dikemaskini di laman rasmi dan media sosial.

Jangan lupa ikuti perkembangan dan kandungan eksklusif di @konsertlegasipramlee (Facebook, Instagram & TikTok).

Mari kita sambut legasi ini – bukan sekadar mengenang, tetapi menghidupkan kembali warisan seni negara!

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |