Rakyat Malaysia yang budiman, MURAI kembali lagi dengan panduan berguna, kali ini khas buat anda yang mungkin tertanya-tanya tentang bantuan tunai RM100 di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Bantuan ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai 2025 dan akan diberikan terus ke MyKad anda. Tak perlu isi borang, tak perlu daftar!
MURAI faham, bila sebut bantuan kerajaan, mesti ramai yang keliru, siapa dapat, macam mana nak guna, boleh beli apa? Jangan risau, MURAI kupas satu per satu, gaya santai tapi padat.
1. Siapa Layak Terima RM100 SARA?
Kalau anda:
- Warganegara Malaysia
- Berumur 18 tahun ke atas (lahir tahun 2007 atau lebih awal)
Maka anda layak secara automatik. Tak payah daftar atau isi apa-apa borang. Bantuan ini akan dikreditkan terus ke dalam MyKad anda bermula 31 Ogos 2025.
Peringatan penting, kalau MyKad anda rosak atau cip tak boleh dibaca, segeralah ke JPN untuk tukar sebelum 31 Ogos. Jangan tunggu sampai kaunter cashier baru perasan kad tak boleh baca.
2. Di Mana Anda Boleh Guna RM100 Ini?
RM100 ini bukan untuk beli segala-galanya. Ia hanya boleh digunakan untuk beli barang keperluan asas yang tersenarai di bawah program SARA dan MyKasih. Boleh digunakan di pasar raya seperti Mydin, Giant dan lain-lain yang mengambil bahagian.
Gunakan MyKad seperti kad debit, tunjuk saja semasa bayar. Tapi untuk kali pertama guna, anda kena tukar PIN daripada 6 digit pertama MyKad kepada PIN yang lebih selamat.
Barang yang diluluskan termasuk:
- Beras, telur, roti, tepung, minyak masak
- Mi segera, makanan dalam tin
- Minuman segera
- Perencah, biskut
- Produk kebersihan dan cucian
- Ubat-ubatan
- Kelengkapan sekolah
Kalau anda cuba beli benda lain macam jajan atau makanan kucing, sistem memang takkan benarkan. Harap maklum.
3. Bagaimana Nak Semak Baki & Kedai Terdekat?
Kalau anda keliru di mana nak semak baki, MURAI cadangkan anda muat turun aplikasi MyKasih. Dalam aplikasi tu anda boleh:
- Semak baki e-kredit RM100
- Lihat senarai penuh kedai yang ambil bahagian
- Kalau anda tak guna aplikasi, boleh saja lawati laman web rasmi mereka di mykasih.com.my.
Tempoh guna pula bermula 31 Ogos 2025 hingga 31 Disember 2025. Jadi jangan tunggu hujung tahun baru nak belanja, bimbang nanti tak sempat.
Peringatan Penting Dari MURAI
MURAI juga ingin beri nasihat mesra, jangan mudah percaya dengan mesej palsu atau pautan yang minta anda daftar untuk SARA RM100. Bantuan ini automatik. Tak ada sesiapa yang akan hantar mesej minta nombor akaun atau nombor MyKad. Jika ragu-ragu, rujuk sumber rasmi.
RM100 ini mungkin nampak kecil, tapi besar maknanya kalau digunakan dengan bijak. Jangan sia-siakan peluang ini. Belanja untuk keperluan asas, bukan kehendak. Dan seperti biasa, MURAI sentiasa prihatin dan akan terus bantu anda faham inisiatif kerajaan dengan lebih mudah.
Teruskan hidup berjimat, dan manfaatkan setiap bantuan yang diberi.