Komposer dan pemain keyboard kumpulan Exists, Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, 50, tampil menjelaskan kenyataan kontroversi yang dikaitkan dengannya berhubung konsert WE 4U2C Live in Concert yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.
Menerusi satu kenyataan di Instagram, Ajai memohon maaf sekiranya ada pihak yang terasa atau tersinggung dengan kenyataan yang dikeluarkannya ketika sidang media serta pelancaran single klasik Alasanmu baru-baru ini. Menurutnya, kenyataan tersebut bukan bertujuan menghalang mana-mana pihak untuk terus berkarya.
“Saya menyokong usaha mana-mana artis untuk terus berkarya, dan berharap segala perkara dapat diselesaikan secara baik dan berhemah. Terima kasih,” katanya ringkas.
Penjelasan itu hadir susulan kenyataan balas daripada Datuk AC Mizal pada Sidang Media Tergempar Berkenaan Isu Hak Cipta Lagu anjuran kumpulan 4U2C dan penganjur Juss Event. AC Mizal dilaporkan menempelak Ajai kerana didakwa mencampuri urusan mereka serta menuduh komposer itu cuba menutup periuk nasi orang lain.
Menurut AC, Ajai tidak sepatutnya membuat kenyataan seolah-olah 4U2C tidak boleh mengadakan konsert, malah mendakwa Ajai tidak memahami aspek perundangan muzik seperti yang digariskan dalam Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
Sebelum ini, Ajai menjelaskan bahawa kenyataannya dibuat bukan untuk menyokong atau menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya menjawab soalan media dan berkongsi fakta berkaitan hak cipta dengan niat mendidik.